Sunday, 18 October 2015

PENGAJARAN DAN KESAN DARI TOPIK

1. Ada iktibar menarik dalam kisah bersejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 1511 Masihi.

2. Armada laut Portugis telah mengepung perairan ke pelabuhan Melaka, antara pusat dagangan antarabangsa yang terbesar ketika itu.

3. Portugis membedil dengan meriam bertalu-talu sehingga mengakibatkan kerosakan besar pada prasarana kota Melaka, harta benda dan jiwa.

4. Kemusnahan tadi membuat orang Melaka berasa hairan dan takjub akan kehebatan peluru meriam.

5. Betapa tidak! Selama 100 tahun merajai Dunia Melayu, kerajaan Melayu Melaka tidak pernah berhadapan persenjataan baru seperti yang digunakan feringgi (orang Portugis dalam istilah Arab ketika itu).

6. Pengalaman Melaka hanyalah berperang di darat dengan menggunakan senjata tajam seperti parang, keris dan lembing.

7. Di laut, tentera Melaka melawan serangan lanun dengan cara merapati kapal lawan, kemudian menyerbu masuk ke dalam kapal. Semuanya menggunakan senjata tradisional.

8. Kerajaan Melayu Melaka muncul sebagai kuasa di rantau Melayu ketika itu setelah mengalahkan dan menakluk banyak kerajaan pesisiran Tanah Melayu, Sumatera sehingga ke barat Jawa.

9. Malah, tentera Melaka juga berjaya mematahkan serangan tentera Siam yang cuba bertapak ke selatan.

10. Kuasa yang semakin kuat itu telah membolehkan kerajaan Melayu Melaka mengawal perdagangan laut, terutama Selat Melaka.


11. Pengaruh Melaka semakin menyerlah setelah rajanya memeluk agama Islam. Ia menjadi pusat penyebaran Islam.

12. Pengaruh kerajaan Melayu Melaka dikembangkan lagi menerusi perkahwinan diraja.

13. Semua kejayaan itu menjadikan kerajaan Melayu Melaka terlalu yakin mengenai kehebatannya daripada sebarang ancaman.

14. Kemakmuran mencetuskan keselesaan hidup sehingga raja dan pembesar Melaka mengambil sikap menutup diri.

15. Melaka berbaik-baik dengan Dinasti Ming dari China yang menawarkan 'perlindungan'.

16. Kemakmuran dan nama Melaka mengharum sebagai 'Venice di Timur' menurut catatan segelintir pengembara Eropah sehingga telah menarik perhatian besar kuasa-kuasa Eropah.

17. Setelah membuat perancangan rapi, armada Portugis dengan teknologi baru telah memerangkap kerajaan Melayu Melaka yang kurang bersedia.

18. Selain kapalnya yang tegap dan kukuh, Portugis telah membedil dengan meriam dari jarak jauh ke arah pelabuhan Melaka tanpa perlu turun ke darat.

19. Apabila tentera Portugis akhirnya mendarat, sebahagian besar pertahanan Melaka sudah lumpuh dan mudah dikalahkan.

20. Ternyata kekalahan kerajaan Melayu Melaka ada kaitan dengan sikap menutup diri sehingga gagal memanfaatkan perkembangan terkini.

21. Namun, ini bukan kelemahan Kesultanan Melayu Melaka semata-mata.

22. Dunia Islam yang berpusat di Timur Tengah ketika itu turut dicengkam fenomena yang sama.

23. Sesudah 700 tahun menyumbang sebuah peradaban kepada dunia dan kemanusiaan, kekuasaan Islam menjadi lemah.

24. Empayar Uthmaniah berpusat di Turki berkecai sesudah Perang Dunia Pertama (1914-1918) iaitu awal abad ke-20 Masihi.

25. Sebelumnya, perkembangan Islam begitu pesat. Daripada abad ketujuh, dari Semenanjung Arab Islam menakluk Syria, Palestin, Mesir dan Afrika Utara, kemudian mara ke Barat Iran dan jazirah Arab.

26. Dari Afrika pula, Islam berkembang ke Sepanyol dan Portugal serta hampir bertapak di Perancis di abad kelapan, kemudian tersebar ke Sicily dan masuk ke Italy sampai ke Rome pada abad kesembilan.

27. Malah, tentera Islam di bawah kaum Tartar berjaya menakluki bahagian Russia di Eropah Utara pada abad ke-12 sampai akhir abad ke-15.

28. Kebangkitan Islam Turki di bawah empayar Uthmaniah memuktamadkan kejayaan Islam ke atas sisa Empayar Rom iaitu Bizantium di Constantinople (kini Istanbul) pada 1453.

29. Daerah-daerah yang dahulunya dipengaruhi peradaban lama seperti Greek, Farsi dan India kini dikuasai Islam.

30. Hal ini membolehkan berlakunya pemindahan ilmu dan sains yang dimanfaatkan oleh umat Islam lewat proses penterjemahan dan kegiatan cendekiawannya.

31. Selanjutnya, pembukaan pusat- pusat pendidikan di wilayah Islam menarik minat dan kehadiran dari luar, termasuk daripada kalangan bukan Muslim yang membawa pulang bahan keilmuan dan sains yang sudah diterjemahkan ke bahasa Arab.

32. Di Eropah, minat belajar bahasa Arab bertambah kerana tujuan itu.

33. Eropah juga menterjemahkan sendiri bahan itu ke bahasa masing-masing.

34. Kesannya, kegiatan penterjemahan lebih berkembang di Eropah daripada di Dunia Islam sendiri.

35. Namun, seperti Melaka, keselesaan khalifah dan pembesar menimbulkan sikap kurang peduli pada perkembangan di luar Dunia Islam dan terperangkap dengan rasa puas hati dan cukup diri.

No comments:

Post a Comment